Updated: February 24, 2010

Lebih 170 pelajar di Tanjong Karang dapat peluang tingkat penguasaan bahasa Inggeris
15/08/2008

Kuala Selangor, 15 Ogos, 2008: Lebih 170 pelajar di kawasan Tanjong Karang kini berpeluang untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui Program Perkhemahan Ceria Bahasa Inggeris “Fun In Learning English Camp”.

Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Ceria Bahasa Inggeris ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Shamsuddin Bin Haji Lias, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Burung yang mewakili YB Dato’ Haji Noh Bin Haji Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi di Sekolah Kebangsaan Bukit Belimbing hari ini.

Bercakap pada majlis pelancaran program tersebut, YB Dato’ Haji Shamsuddin berkata program ini merupakan salah satu daripada usaha berterusan pihak penganjur untuk memberi ruang dan peluang kepada para pelajar khususnya di kawasan Tanjong Karang untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di samping membina keyakinan mereka untuk menggunakan bahasa tersebut setiap hari.

“Program ini merupakan program sokongan pembelajaran Bahasa Inggeris dan merupakan satu lagi kemudahan pembelajaran tambahan yang kami sediakan untuk dimanfaatkan oleh para pelajar di sekolah-sekolah terpilih di kawasan Tanjong Karang ini iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Belimbing, Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor dan Sekolah Kebangsaan Sri Tiram,” ujar beliau.

“Program ini akan dilaksanakan dalam dua (2) sesi di mana setiap sesi akan berjalan selama empat (4) hari. Ianya disasarkan kepada murid Tahun Lima (5) di mana kita akan membantu mereka bukan sahaja untuk meningkatkan keyakinan mereka untuk menggunakan Bahasa Inggeris tetapi juga membolehkan mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun depan,” tambah beliau.

Program ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor, Pejabat Parlimen Tanjung Karang, Sekolah Kebangsaan Bukit Belimbing, Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor, Sekolah Kebangsaan Sri Tiram dan penyedia perkhidmatan IT, HeiTech Padu Berhad.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan HeiTech, Tajul Razi Abdul Aziz yakin program ini  akan memberi manfaat kepada pelajar yang terlibat di samping dapat memenuhi masa lapang mereka semasa musim cuti persekolahan.

“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar. Sebelum program bermula, para pelajar yang terpilih ini akan diberikan ujian bagi menilai tahap penguasaan bahasa mereka dan kemudiannya akan diserapkan dalam beberapa kumpulan mengikut tahap kelayakan masing-masing. Ini bagi memudahkan fasilitator untuk menyediakan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan tahap kelayakan para pelajar,” jelas Tajul Razi.

“Apa yang menariknya tentang program ini ialah kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris yang interaktif di mana para pelajar didedahkan dengan penggunaan IT semasa melaksanakan tugasan yang diberi. Kami percaya kaedah dan suasana pembelajaran seperti ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris secara bersahaja dengan rakan-rakan mahupun guru-guru,” beliau mengulas lanjut.

Antara aktiviti-aktiviti yang akan disertai oleh para pelajar adalah mencari harta karun menerusi Internet, bercerita, membaca, menulis dan penyuntingan foto.

Tajul Razi turut menambah para pelajar ini juga akan didedahkan dengan penggunaan komputer di mana program ini akan menggunapakai perisian sokongan pembelajaran Bahasa Inggeris yang dibangunkan oleh HeiTech iaitu “Bestari Ed”. Perisian ini mengandungi modul sokongan pembelajaran Bahasa Inggeris yang lengkap merangkumi kemahiran menulis, mendengar dan bertutur.

HeiTech juga akan memantau perkembangan pelajar selepas program ini berakhir menerusi portal yang dibangunkan sendiri oleh HeiTech. Portal yang menyediakan segmen seperti blog pelajar, galeri, email dan forum akan memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi antara satu sama lain di samping  mendapatkan maklumat mengenai perkembangan mereka dari masa ke semasa.

###

Diterbitkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat HeiTech Padu Berhad.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Rosman Mustafa Kamar
Bahagian Komunikasi Korporat Dan Perhubungan Strategik
HeiTech Padu Berhad
Tel: 03-86013107
e-mail:rosmanmk@heitech.com.my

Date Press Release
23/02/2009 HeiTech Mainkan Peranan Penting Dalam Program Kempen Pengesanan Awal Barah Payudara
23/02/2009 HeiTech Plays Pivotal Role In Breast Cancer Awareness Programme
19/08/2008 Green Packet Appoints HeiTech to target enterprise market with “Padu*Mobile”
15/08/2008 Lebih 170 pelajar di Tanjong Karang dapat peluang tingkat penguasaan bahasa Inggeris
28/05/2008 HeiTech Lancar Pusat Data Bertaraf Dunia
28/05/2008 HeiTech Launches World-Class Data Center in Malaysia
22/01/2008 BSN Transforms Network Infrastructure Capability Leveraging on HeiTech’s IP VPN and Broadband Services
15/02/2007 CMMI Level 3 Rating Signifies Heitech Commitment In Pursuing ICT Best Practices
Page 1 of 2 , Previous page  Next page