Updated: February 24, 2010

HeiTech Lancar Pusat Data Bertaraf Dunia
28/05/2008

Shah Alam, 28 Mei 2008: Pusat Data baru bertaraf dunia, yang pertama seumpamanya di Malaysia, kini telah memulakan operasinya di Bukit Jelutong, Shah Alam. Pusat Data serba moden yang dimiliki dan diuruskan oleh HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersepadu merupakan antara Pusat Data terbaik dari segi prestasi dan juga infrastruktur yang menepati piawaian antarabangsa.  

Pusat Data yang menepati piawaian antarabangsa Tier IV ini dibangunkan khusus bagi menyediakan perkhidmatan infrastruktur teknologi secara menyeluruh merangkumi perkhidmatan pusat data terurus, perkhidmatan web hosting, perkhidmatan rangkaian terurus, perkhidmatan penyelesaian desktop dan keselamatan terurus, serta perkhidmatan perundingan.

Penyumberan Pusat Data akan membolehkan sesuatu organisasi memberi tumpuan khusus kepada perniagaan teras mereka, meminimakan masalah dan kos operasi yang akan timbul sekiranya mereka sendiri yang mengurus dan menyelenggarakan pusat data mereka.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak telah menyempurnakan perasmian Pusat Data HeiTech yang kini secara rasminya dinamakan HeiTech Village 2.
    
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut adalah YB Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Hilmey Mohd Taib, Pengerusi Eksekutif HeiTech serta Lembaga Pengarah HeiTech.

Bercakap kepada pemberita semasa majlis perasmian tersebut, Dato’ Mohd Hilmey berkata idea pembangunan Pusat Data ini tercetus daripada peningkatan keperluan organisasi-organisasi yang menghadapi masalah untuk mengurus dan melindungi data-data penting perniagaan mereka, terutamanya apabila berdepan dengan isu-isu seperti kehilangan data, penggodam sistem dan kebocoran maklumat.
 
Hal ini dibuktikan menerusi peningkatan permintaan ke atas perkhidmatan pusat data di Malaysia yang diramal akan mencecah lebih dari US$150 juta dan dijangka berkembang pada kadar 15% “Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR)” sehingga 2011. (Sumber: Laporan IDC, 2007)

Dato’ Mohd Hilmey turut menjelaskan Pusat Data baru ini beroperasi dengan menggunakan teknologi yang canggih dan moden dan beroperasi di dalam persekitaran yang mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

“Pusat Data yang berkualiti tinggi seperti ini dijangka mampu memenuhi permintaan para pengguna, samada institusi perbankan, agensi-agensi kerajaan mahupun sektor korporat,” menurut Dato’ Mohd Hilmey.

Pada masa sekarang, HeiTech menyediakan perkhidmatan Pusat Data kepada ramai pelanggan merangkumi pelbagai sektor dan menjangka akan memperoleh kontrak-kontrak baru tahun ini, baik di dalam mahupun luar negara.
 
“Ini adalah komitmen berterusan kami kepada para pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan Pusat Data kami sejak 10 tahun lalu. Pusat Data ini merupakan manifestasi kepada aspirasi kami untuk memberikan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi kepada komuniti perniagaan di mana mereka boleh menyerahkan tugas mengurus data mereka kepada pakar seperti HeiTech,” Dato’ Mohd Hilmey mengulas lanjut.

Kerja-kerja pembinaan Pusat Data ini telah bermula pada bulan Ogos 2006 dan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Oktober 2007. Antara matlamat Pusat Data ini adalah untuk memberi kelebihan kepada para pelanggan HeiTech khususnya dalam menambahbaik dan mengembangkan perkhidmatan pemulihan bencana serta keupayaan penyumberan mereka bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan mereka yang baru dan sedia ada, di dalam mahupun luar negara.  

Menurut Dato’ Hilmey, perbezaan utama di antara HeiTech dan syarikat-syarikat tempatan yang lain adalah dari aspek kematangan kemahiran kakitangan HeiTech di mana ia telah dijana menerusi bertahun-tahun pengalaman dalam membangunkan penyelesaian ICT, rekabentuk sistem serta pembangunan aplikasi boleh ubah semasa melaksanakan projek-projek sistem bersepadu mega untuk sektor awam dan swasta di Malaysia.

Pengalaman berharga ini telah memperkukuhkan lagi kefahaman dan kepakaran HeiTech bukan sahaja dalam bidang berkaitan ICT tetapi juga dari segi penerokaan kaedah terbaik dan proses pemilihan pasaran perniagaan.

HeiTech percaya bahawa ia mampu untuk terus melangkah maju ke hadapan dan menggunakan kepakaran sedia ada untuk merubah perniagaan para pelanggannya bagi mencapai objektif perniagaan mereka.

Pengiktirafan yang diberikan terhadap keupayaan HeiTech dalam melaksanakan projek-projek mega di Malaysia telah membuka ruang dan peluang kepada HeiTech untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa. Pada masa sekarang, HeiTech sedang melaksanakan beberapa projek di Indonesia dan Sri Lanka.

Pelancaran Pusat Data baru di Bukit Jelutong ini sekali lagi membuktikan keupayaan HeiTech sebagai peneraju penyediaan penyelesaian ICT, dan meletakkan mereka di landasan yang tepat ke arah mencapai visinya untuk menjadi “Syarikat Peneraju Perubahan ICT Sebenar”. 

-tamat-

Diterbitkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat & Perhubungan Pelabur HeiTech Padu Berhad
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Noriswadi Haji Ismail
Naib Presiden
Perhubungan Korporat & Perhubungan Pelabur
HeiTech Padu Berhad
Tel: 03-86013118 / 012-9165961
 

Date Press Release
23/02/2009 HeiTech Mainkan Peranan Penting Dalam Program Kempen Pengesanan Awal Barah Payudara
23/02/2009 HeiTech Plays Pivotal Role In Breast Cancer Awareness Programme
19/08/2008 Green Packet Appoints HeiTech to target enterprise market with “Padu*Mobile”
15/08/2008 Lebih 170 pelajar di Tanjong Karang dapat peluang tingkat penguasaan bahasa Inggeris
28/05/2008 HeiTech Lancar Pusat Data Bertaraf Dunia
28/05/2008 HeiTech Launches World-Class Data Center in Malaysia
22/01/2008 BSN Transforms Network Infrastructure Capability Leveraging on HeiTech’s IP VPN and Broadband Services
15/02/2007 CMMI Level 3 Rating Signifies Heitech Commitment In Pursuing ICT Best Practices
Page 1 of 2 , Previous page  Next page